Sabar. Kalimah yang begitu mudah diucapkan. Namun berapa ramai
antarakita yang bersabar dalam apa jua suasana dan ketika. Adakah
sabar itu mempunyai batasnya ?. Sabar yang bagaimana sehingga ia
diiktiraf sebagai sebahagian dari iman ? Adakah kita tergolong dalam
golongan orang yang bersabar lalu kita terpilih menjadi kesayangan
Allah SWT ?.
"Dan berapa ramai para nabi yang berperang bersama-sama mereka
sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi
lemah (mental) kerana bencana yang menimpa di jalan Allah, tidak
lesu (dalam penampilan), dan tidak menyerah (dalam aktiviti). Allah
menyukai orang-orang yang sabar." (QS Ali Imran: 146)
Salah satu sifat apabila berada pada diri seseorang nescaya Allah
akan mencintainya adalah sifat sabar. Al Qur'an banyak menyebut
sifat ini baik dalam surah–surah Makiyah (turun di Mekah) mahupun
Madaniyah (turun di Madinah). Bahkan, sabar merupakan sifat para
nabi pilihan (ulul `azmi).
"Maka bersabarlah kalian seperti ulul `azmi (orang-orang yang
memiliki keteguhan hati dari para rasul) telah bersabar." (QS al-
Ahqaaf : 35)
Menurut Imam Ghazali, sabar adalah sifat khas manusia yang tidak
dimiliki makhluk-makhluk lain. Oleh itu, sabar amat penting dan
utama dalam mengharungi kehidupan. Seorang petani, tidak mungkin
menuai hasil tanaman padi apabila dia tidak sabar menunggu dan
menjaga serta merawat tanamannya. Seorang pelajar atau mahasiswa
pula tidak mungkin lulus apabila tak sabar menempuhi pelajaran dari
hari ke hari.
Bahkan kemaksiatan yang tumbuh dalam masyarakat juga disebabkan oleh
manusia yang tidak sabar dalam menghadapi kehidupan dunia yang penuh
dinamik. Abu Thalib al Makky berkata, "Banyaknya kemaksiatan yang
dilakukan oleh seseorang kerana dua perkara. Pertama kerana
sedikitnya kesabaran terhadap sesuatu yang disenangi atau disukai.
Kedua kerana sedikitnya kesabaran terhadap sesuatu yang tidak
disukai."
Namun demikian, masih ramai umat Islam yang keliru dalam memahami
ertikata sabar. Ada yang menyangka, sabar bererti `mengusap dada'
setiap kali menghadapi masalah hidup. Ada pula yang mengungkap sabar
itu ada batasnya, lalu apabila sampai dibatasnya kesabaran akan
hilang !. Adakah ini sudah memadai untuk dinamakan sabar?.
Dari ayat 146 surah Ali Imran, menunjukkan sekurang-kurangnya
terdapat tiga kriteria orang sabar. Pertama, maa wahanu (tidak
pengecut atau tidak lemah mental). Apabila berhadapan dengan
kesulitan hidup, dia memiliki self control mechanism. Dia segera
menstabilkan emosi dan mentalnya, sebelum orang lain
mengingatkannya. Nasihat orang lain agar dia bersabar hanya
berperanan sebagai supplementary factor bagi stabiliti dirinya.
Pada suatu ketika, Rasulullah SAW melintasi sebuah kawasan
perkuburan. Baginda melihat seorang ibu menangis tersedu-sedu sambil
menutup mukanya di atas pusara anaknya yang baru saja dimakamkan.
Nabi menghampiri seraya bersabda, "Wahai ibu, bertaqwalah kepada
Allah dan bersabarlah."
"Engkau tak tahu apa yang aku rasakan." Katanya.
Nabi pun meninggalkannya. Seorang sahabat yang menyaksikan peristiwa
tersebut, berkata kepada wanita tadi, "Adakah engkau tahu, siapa
yang berbicara denganmu tadi? Itu adalah Rasulullah SAW !.
Wanita itu terkejut. Bergegas dia mengejar Nabi Muhammad SAW ingin
meminta maaf atas kelancangan perilakunya. Ketika bertemu, Nabi SAW
bersabda, "Sesungguhnya sabar yang sejati hanyalah pada saat
seseorang terkena musibah untuk kali yang pertama!"
Ciri orang sabar yang kedua adalah maa dha'ufuu (tidak lesu – dari
segi penampilan). Seseorang yang sabar tidak pernah merasa perlu
menampilkan kesedihan atau kesulitan masalahnya kepada orang lain.
Dia pantang menampilkan kelesuan di raut wajahnya, betapa sulit pun
masalah yang dihadapi. Dia sedar betul bahawa tiada manusia di dunia
yang luput dari masalah. Secanggih mana pun seorang pakar psikiatri
atau psikologi dalam menangani masalah orang lain, nescaya dia juga
tidak terlepas dari bebanan masalah. Walaupun mungkin orang sabar
harus menampilkan kelemahan diri, maka dia sampaikan kepada Allah
SWT di kesunyian malam melalui salat tahajud.
Ketiga, mastakaanuu (tidak menyerah atau tunduk - dari segi
aktiviti). Seorang yang sabar sentiasa memelihara ketekunan dan
ketahanan dirinya. Dia sentiasa gigih dalam usaha mencapai
sasarannya. Dia seorang yang tak kenal perkataan putus asa. Tidak
ada dalam kamus hidupnya putus harapan. Dia tak mudah patah semangat
apabila berhadapan dengan kegagalan. Dia bukanlah seorang pesimis,
malah selalu memelihara dan mengembangkan sikap optimis dalam
hidupnya. Jika dia menemui kegagalan hari ini, dia akan cuba sekali
lagi keesokan harinya. Jika esoknya dia masih gagal, dia cuba
kembali pada hari lusanya. Bila setelah sekian kali menemui
kegagalan, maka dia akan membuat keputusan untuk mengubah usahanya
ke bidang yang lain. Yang pasti dia tak akan pernah memilih untuk
duduk diam, tanpa usaha.
Seringkali manusia lupa bahawa hidup di dunia berbeza dengan di
akhirat. Di akhirat segala sesuatu menjadi serba kekal. Seseorang
hanya akan merasakan bahagia yang terus menerus di dalam syurga,
atau sebaliknya mendapat siksa yang kekal di neraka jahannam.
Sebaliknya kehidupan di dunia bersifat fana, nisbi dan penuh
dinamik. Suka duka, berjaya gagal, rahmat dan bencana datang silih
berganti. Pada suatu ketika seseorang itu berada di atas manakala
pada ketika yang lain dia berada di bawah. Dalam suasana yang
dinamik inilah amat diperlukan sifat sabar.
09 Januari 2009
Sabarlah...
10.11
Keindahan